Prestasi lemah Wall Street heret turun Bursa Malaysia

Sep 7, 2022 | News | 0 comments

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki prestasi lemah di Wall Street apabila kebimbangan mengenai langkah kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus mempengaruhi sentimen, kata peniaga.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 3.26 mata kepada 1,485.01 daripada 1,488.27 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 2.25 mata lebih rendah kepada 1,485.92.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 235 berbanding 102, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,735 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.53 juta unit bernilai RM83.36 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata beberapa minat belian dijangka dapat dilihat dalam saham kewangan hari ini, terutama kaunter perbankan yang menjadi tumpuan penjualan pada saat-saat akhir semalam.

“Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) merosot kepada bawah RM3,800 satu tan disebabkan eksport agresif dari Indonesia untuk mengurangkan simpanan stok mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Purata Perindustrian Dow Jones susut 173 mata dan Nasdaq turun 86 mata, manakala hasil berjangka 10 tahun Amerika Syarikat melonjak kepada 3.35 peratus.

Pak Leng berpandangan bahawa di peringkat tempatan, indeks akan tersekat pada julat kecil di antara 1,485 dengan 1,500 hari ini kerana dagangan dijangka kekal hambar.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing menokok dua sen kepada RM8.92 dan RM6.17, manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing susut satu sen kepada RM4.65, RM8.73 dan RM5.45.

Antara saham aktif, Metronic Global naik satu sen kepada 8.5 sen; MQ Technology tidak berubah pada 3.5 sen; Cypark Resources susut 2.5 sen kepada 33 sen; Umedic Group menguncup setengah sen kepada 71.5 sen dan Agmo Holdings kurang satu sen kepada 92 sen.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 26.37 mata kepada 10,542.53; Indeks FBMT 100 turun 26.34 mata kepada 10,291.20; FBM 70 susut 47.11 mata kepada 12,636.12; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 40.22 mata kepada 10,593.83 dan FBM ACE merosot 24.61 mata kepada 4,775.78.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 14.63 mata kepada 7,014.68; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.10 mata kepada 181.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 4.81 mata kepada 16,730.08 dan Indeks Tenaga menguncup 9.23 mata kepada 712.21.

-BERNAMA

0 Comments